top of page

'Travel Bajet' Ke Perlis

Negeri Perlis adalah sebuah negeri yang semakin berkembang pesat sektor perlancongannya. Kini pada tahun 2021 kita dapat melihat banyak perubahan positif sektor perlancongan yang semakin hari semakin maju. Kepelbagaian tarikan yang ada di negeri Perlis ini sedikit sebanyak telah menjadikan negeri ini sebagai satu lokasi bagi orang awam memilih untuk datang bercuti.


Bagi anda yang inginkan sebuah percutian bersama keluarga mahupun rakan tetapi tidak mahu berbelanja besar dan masih inginkan sebuah percutian yang tenang dan berbaloi, di sini kami senaraikan lokasi penginapan dan tempat-tempat perlancongan yang boleh anda pergi dalam harga yang rendah dan mesra dompet.


Pemilihan Tempat Penginapan:


Bagi anda yang masih bingung tidak tahu dimanakah lokasi penginapan yang boleh dipilih untuk menginap semasa bercuti secara bajet di Perlis, anda boleh memilih sama ada untuk tinggal di hotel, homestay atau motel.


1. Hotel Putra Brasmana


Hotel Putra Brasmana ini terletak di Kuala Perlis yang berdekatan dengan jeti untuk ke Langkawi. Bagi anda yang inginkan suasana tenang berdekatan laut, anda boleh memilih hotel Putra Brasmana ini untuk datang menginap kerana julat harganya yang murah. Harga bilik untuk menginap satu malam di hotel ini bermula hanya RM73 sahaja. Hotel bertaraf tiga bintang ini amat sesuai untuk anda yang ingin menginap di suasana hotel tetapi masih dalam bajet yang rendah.


2. Homestay Kampung Ujung Bukit


Gambar kredit: budakbandunglaici.blogspot

Bagi anda yang mahukan pengalaman penginapan yang berkonsepkan suasana kampung dan lebih dekat dengan alam semulajadi, homestay Kampung Ujung Bukit boleh menjadi pilihan anda. Homestay yang menyediakan pelbagai kemudahan dan keunikan yang tersendiri membuatkan homestay ini sudah terkenal dan menjadi sebuah lokasi wajib yang akan dipilih untuk menginap. Penginapan di sini bermula dengan harga RM80 pasti memberikan anda sebuah pengalaman penginapan yang tidak akan dilupakan. Keindahan pemandangan padi yang menghijau pasti memberikan ketenangan kepada orang yang melihat.

3. Motel Fyna



Motel Fyna ini adalah motel bajet yang selesa dan lokasinya amat strategik iaitu tidak jauh dengan bandar Kandar dan bandar Diraja Arau. Penginapan di sini hanya serendah RM60 satu malam dan tersedia kemudahan asas yang mencukupi. Untuk anda yang mahukan julat harga penginapan yang murah, anda boleh cuba menginap di motel Fyna ini. Keadaan motel yang selesa dan bersebelahan dengan sawah padi juga memberikan satu nilai tambah kepada motel ini.


4. Nakawan Basecamp

Mari bersama merasai suasana malam di Nakawan Basecamp. Sebuah tapak perkhemahan yang menyediakan pengalaman penginapan yang agak berlainan. Bagi anda yang suka akan pengalaman menginap yang berkonsepkan perkhemahan dan lebih menjimatkan kos ketika datang bercuti ke Perlis, anda boleh cuba berkhemah di Nakawan Basecamp ini bersama keluarga.


Harga sewaan tapaknya hanya RM2 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak tidak termasuk sewaan khemah. Di sini juga tersedia kemudahan asas seperti tandas, soket elektrik, ruangan memasak, isyarat telefon dan juga kawasan parking kereta yang hanya 20 meter dari tapak perkhemahan yang memudahkan anda untuk mengangkut barang.


#Tip Bonus

Puncak Wang Kelian


Puncak Wang Kelian ini adalah sesuai untuk anda berkhemah. Tanpa dikenakan sebarang bayaran, anda boleh memilih untuk berkhemah di sini dan boleh menjimatkan kos penginapan. Anda juga boleh merancang berkhemah di sini untuk satu malam dan pada malam berikutnya barulah menginap di hotel, homestay atau motel yang telah disenaraikan di atas. Hal ini dapat menjimatkan sedikit kos disamping anda akan menikmati sebuah pengalaman perkhemahan yang amat menakjubkan.


Di waktu pagi di Puncak Wang Kelian ini terdapat pemandangan yang amat cantik dituruti dengan awan dan bukit bukau yang begitu mengasyikkan diiringi deruan angin yang menenangkan.


Lokasi Perlancongan Bajet di Perlis:


Kami akan senaraikan lokasi-lokasi yang boleh anda lawati untuk meluangkan masa bercuti sepanjang berada di Perlis. Lokasi-lokasi ini amat menjimatkan untuk anda lawati dan memenuhi kehendak percutian secara bajet.


1. Taman Ular dan Reptilia


@faizaltularwin

Terdapat lebih 150 ekor ular daripada 34 spesies di taman ini, dengan 25 spesies ular tempatan dan sembilan spesies luar negara, seperti ular Sawa, ular Tedung Selar dan ular Kapak. Terdapat juga haiwan lain seperi biawak air, iguana dan buaya tembaga. Pengunjung boleh mendekati haiwan eksotik ini dengan lebih dekat dalam suasana yang hampir sama dengan habitat asalnya.


Terdapat sebuah mini teater khusus untuk pertunjukan permainan ular. Kadar bayaran hanya RM6 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak dan untuk 4 tahun kebawah adalah percuma. Di sini juga terdapat tarikan baru seperti mural lukisan 3D dan ladang bunga matahari yang cantik untuk dilawati. Pelbagai tarikan baru yang telah ditambah di sini bagi manarik kadatangan pelancong dan sangat berbaloi dengan harga yang ditawarkan.


Dibuka pada setiap hari
Jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang


2. Emerald Pool Bukit Ayer



'The Emerald Pool of Perlis' terletak di Taman Ekorimba Bukit Ayer. Lokasi yang sering dijadikan sebagai tempat untuk berkhelah dan mandi manda ini merupakan lokasi yang sesuai untuk anda meluangkan masa disamping menikmati suasana pepohon hijau yang menenangkan.



Apabila anda datang ke sini dan menyelusuri sungai, punca airnya di hulu sungai, terdapat sebuah takungan mengalir berwarna biru kehijauan yang membuat tempat ini dipanggil 'Emerald Pool'. Airnya ini dapat dilihat biru kehijauan apabila pancaran matahari yang mengena ke air tersebut. Bayaran masuk di sini hanya RM2 untuk seorang, amat murah dan boleh dikatakan berbaloi kerana di sini juga disediakan kemudahan asas untuk pelancong yang datang dan tidak perlu lagi ke negara jiran iaitu di Krabi untuk menikmati 'Emerald Pool' di sana.

Dibuka pada setiap hari
Jam 9.00 pagi hingga 7.00 petang


3. Taman Anggur Perlis (Taman Buah-Buahan Eksotik Perlis)



Taman Anggur Perlis yang pernah menjadi tarikan suatu ketika dahulu telah kembali terkenal. Setelah siap proses pengubahsuaian dan kini pada tahun 2021 Taman Anggur Perlis ini dibuka semula untuk kunjungan orang ramai. Tempat ini telah dijenamakan semula sebagai Taman Buah-Buahan Eksotik Perlis.


Gambar kredit: Facebook - Perlis Permai

Para pelawat boleh berkunjung ke sini, dan di taman ini mempunyai Laman Anggur yang buat masa ini mempunyai 9 jenis dan akan ditambah lagi kepelbagaiannya dari masa kesemasa, Laman Super Fruits seperti gac, markisa serta tin, Laman Buah Naga, Kelapa Matag dan Pandan serta 17 jenis Pokok Nadir yang akan ditambah sehingga lebih 30 jenis.


Gambar kredit: Facebook - Perlis Permai

Di sini orang ramai boleh menikmati buah anggur yang segar dan juga bergambar dengan tarikan yang baru. Telah tersedia 10 'spot' mengambil gambar dan anda juga boleh memberi makan kepada ikan-ikan yang ada di sini ataupun lebih dikenali sebagai 'fish feeding', menaiki kayak dan bot angsa serta melihat pemandangan indah Wang Gunung dari menara tinjau.


Buat masa sekarang masih tidak dikenakan apa-apa bayaran untuk masuk ke sini, jadi jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk datang dan menikmati sendiri pengalaman yang disediakan.

Dibuka pada setiap hari kecuali Isnin
Jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang


4. Tasoh Lake Resort by Tasoh TasikKu



Tasoh Lake Resort by Tasoh TasikKu adalah tarikan pelancong yang tengah hangat diperkatakan. Dahulunya hanya sebuah resort untuk pelancong menginap tetapi kini sudah ditambah dengan pelbagai tarikan baru untuk orang ramai berkunjung.


Bayaran masuk yang hanya RM5 untuk sebuah kereta amat berbaloi. Tarikan yang ada di sini termasuklah boleh menunggang basikal mengelilingi kawasan Tasoh Lake Resort ini, tempat mengambil gambar yang cantik dan baru.


Gambar kredit: Facebook - Mohd Syakir


Di sini juga ada lampu-lampu yang cantik dibuka pada waktu malam dan sangat menarik mata memandang. Bagi anda yang ingin bercuti dengan harga bajet boleh berkunjung ke sini dan menikmati masa bersama keluarga di samping merasai sendiri pengalaman dengan tarikan yang ada di sini.


Dibuka pada setiap hari
Jam 8.00 pagi hingga 9.00 malam

#Tip Bonus

Chuping


Gambar kredit: Instagram - fahimnazeri_

Kawasan yang sesuai untuk mengambil gambar dan menjadi tarikan buat sesiapa sahaja yang melihat sudah pasti akan membuat anda berasa puas jika datang terutama kepada anda yang gemar bergambar. Di Chuping ini, anda boleh datang dan bergambar dan menghirup udara segar secara percuma tanpa bayaran. Telah ramai yang lalu di sini dan pasti singgah untuk mengambil gambar kenangan di sini.


Gambar kredit: Instagram - hanif_abdulrahman

Tempat Makan Bajet tapi Best:


Jika anda datang bercuti ke Perlis anda tidak perlu risau tentang makanan kerana di negeri Perlis memang sudah dikenali dengan aneka makanannya dengan harga yang murah tetapi sedap menepati pelbagai citarasa.


1. Nipah Klasik


Nipah Klasik ini yang bertempat di Simpang Ampat Perlis adalah satu lokasi baru yang boleh anda kunjungi. Tempat yang berkonsepkan santai untuk anda dan keluarga menikmati air nira segar dari pokok nipah ini akan memberikan ketenangan dan kepuasan kepada anda.


Rombongan secara kelompok juga boleh ditempah awal bagi penyediaan makanan. BBQ juga boleh diadakan disini. Kadar sewa tempat makan ini dan makanan yang berpatutan pasti meninggalkan kenangan yang tidak dapat dilupakan. Bajet makanan di sini sekitar RM15 seorang dan boleh menikmati air nira dan juga makanan yang lain seperti bihun sup utara dan satu makanan sampingan yang lain mengikut pilihan anda.


Gambar kredit: Facebook - Kitty Rosey

Dibuka pada setiap hari
Jam 10.00 pagi hingga 7.00 malam

2. Warung Teratak Bonda


Warung yang dibuka pada awal pagi sehingga tengahari ini menyediakan pelbagai jenis makanan kampung dan makanan utara seperti pulut ayam yang menjadi kesukaan ramai apabila datang ke Perlis.


Walaupun Warung Teratak Bonda ini masih baru tetapi telah mendapat sambutan hangat oleh masyarakat sekeliling dan juga pelancong dari negeri lain. Keistimewaan warung ini ialah pada setiap hari akan ada menu istimewa yang berlainan.



Suasana tepi sawah yang cantik disamping makanan yang sedap dan murah menjadikan warung ini tumpuan ramai untuk datang. Pelbagai menu yang ada di sini yang menjadi tumpuan ramai seperti Mee Kari Sambal Kerang, Moi Ayam Berempah, Lontong dan macam-macam lagi. Bajet untuk makan dan minum di sini tidak lebih dari RM10 seorang untuk satu jenis makanan dan minuman. Dengan harga seperti ini pasti dapat puaskan hati sesiapa sahaja.


Dibuka pada setiap hari kecuali Jumaat
Jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari

3. Floating Market Perlis


Berkonsepkan seperti 'Floating Market' di negeri Kelantan dan Hatyai Thailand, di negeri Perlis juga ada pasar terapun nya sendiri. Di sini dijual pelbagai jenis makanan berat seperti pulut ayam dan makanan ringan seperti rojak, som tam dan pelbagai lagi.



Bagi anda yang ingin santai petang sambil melihat keindahan tasik dan menikmati makanan bolehlah datang ke sini bersama keluarga dan rakan. Selain daripada jualan makanan, jualan buah-buahan tempatan dan ikan segar seperti ikan pari, kembung serta selayang turut dilakukan dengan harga yang istimewa. Julat harga jualan ikan di sini murah berbanding di tempat lain dan harga makanan di sini untuk seorang hanya RM8 untuk makanan dan minuman.

#Info Tambahan



Dengan kemudahan lokasi dan tempat parking yang luas, pasar terapung ini ternyata mampu menarik ramai pengunjung ke sini. Aktiviti berkayak juga boleh dilakukan di sini dengan pengawasan dan peralatan keselamatan yang lengkap dengan harga hanya RM2 seorang untuk 20minit.

Dibuka pada setiap hari Sabtu dan Ahad
Jam 10.00 pagi hingga 8.00 malam


4. Restoran Sarang Burung


Pelanggan yang datang ke restoran ini sering memberi maklum balas yang positif iaitu jika datang ke restoran ini pasti rambang mata dengan aneka pilihan lauk pauk yang ada. Pada waktu tengahari adalah waktu yang sangat ramai pelanggan kerana makanan tengaharinya yang banyak dan sedap.



Lauk pauk yang ada di restoran ini juga murah dan lokasi restorannya yang strategik iaitu tidak jauh dengan bandar Kangar memberikan kelebihan kepada restoran ini. Ramai pelanggan yang kagum dengan pemilik restoran ini yang ramah dan mesra pelanggan. Nilai estetika inilah yang menjadi antara penyumbang kepada pelanggan untuk memilih restoran ini disamping harga makanannya yang berpatutan. Julat harga di sini tidak melebihi RM15 seorang untuk nasi bersama 2 jenis lauk dan sayur beserta minuman.

Dibuka pada setiap hari kecuali Sabtu
Jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang

5. Restoran Pokok Sawa


Gambar kredit: flyklia.com

Restoran Pokok Sawa ini menghidangkan makanan kampung yang menjadi perbualan hangat dalam kalangan pelanggannya. Hal ini disebabkan kesedapan lauk pauk dan julat harga makanannya yang mesra poket. Bayangkan dengan hanya RM13 anda boleh menikmati makanan seperti gambar di bawah dan juga minuman.



Menu yang terkenal di restoran ini ialah ikan keli bakar. Ikan keli bakar sering diperkatakan sebagai menu yang agak mahal tetapi usah risau mengenai harganya kerana ia tidak mahal tapi berpatutan dengan keenakkan yang dijanjikan.



Dibuka pada setiap hari kecuali hari Jumaat
Jam 11.30 pagi hingga 4.00 petang

Kesimpulan yang boleh kami simpulkan, anda yang inginkan percutian bajet ke Perlis selama 3 hari 2 malam sebagai contoh hanya memerlukan bajet sebanyak RM300 sahaja untuk seorang termasuk kos minyak kenderaan untuk ke semua destinasi yang kami senaraikan (tidak termasuk kos perjalanan ke Perlis). Jadi dengan kos percutian bajet seperti ini, jangan lepaskan peluang dan marilah bercuti ke negeri Perlis yang menunggu kedatangan anda dengan pelbagai tarikan.


Kami juga menyediakan pakej dan promosi menarik untuk percutian ke Perlis. Hubungi +60168930309 atau melalui WhatsApp, klik di link untuk respon segera pihak kami. Kami juga boleh dihubungi melalui email di hello@smartleisuretravels.com untuk info lanjut tentang pakej-pakej yang kami sediakan.

Tentang Kami

Smart Leisure Travels merupakan agensi perlancongan berlesen yang berpangkalan di Sarawak dan juga mempunyai pejabat satelit di Kuala Lumpur. Kami menyediakan perkhidmatan berasaskan perlancongan dalam dan luar negara. Matlamat kami adalah untuk memberikan pengalaman dan percutian yang unik serta sukar dilupakan.

3,763 views

Commenti


Related Articles

bottom of page